Tuesday, July 12, 2011

~ Zaki ~ ( 4 )



Pada tahun 1980 , salah seorang rakan sekerja kami telah menganjurkan satu rombongan untuk ke Kota Tinggi dan Pantai Lido di Johor. Zaki mengajak aku untuk turut serta, manakala Jan pula mendesak Chandra untuk pergi bersama sebab dia merasa tidak senang hati bila mendengar aku bersetuju untuk pergi bersama Zaki. Seboleh-boleh nya dia tidak mahu kalau tertinggal dari turut serta, cemburu kan aku sangat.  Tak sangka dia akan ikut kemana saja aku dan Zaki ingin pergi, walau pun pada ketika itu aku sudah tidak takut lagi untuk keluar berdua saja dengan Zaki. 

Aku sudah membuat keputusan, bahawa sekiranya Allah mengizinkan hubungan aku dan Zaki menjadi rapat, aku terima dia sebagai teman lelaki, sebab Latib terkadang sangat membosankan,sering mengelak bila aku ingin berjumpa,  tambahan pula aku telah mendengar berita dari kawan-kawan nya yang rapat, mengata kan dia bermain kayu tiga di belakang ku. Dia sebenar nya mempunyai teman wanita lain selain dari aku. Jujur aku katakan, aku tidak suka lelaki hipokrit, penipu....sebab dia mengaku tiada perempuan lain selain aku, walhal nya dia melayan ramai perempuan termasuk seorang janda yang sangat gilakan dia. Janda itu pulak sekampung juga dengan aku.......aduhhh.....pecah rahsia dia, aku sudah tahu dia bermuka-muka.

Bila sampai hari nya untuk kami pergi ke Kota Tinggi, duduk lah kami berpasang-pasangan di dalam bas. Aku dan Zaki duduk berdua, Jan dan Chandra pun sama, ramai lagi yang bercouple kat dalam bas....teringat bagaimana aku kesejukan sebab aircond terlalu sejuk, mujur lah bawak baju panas kalau tidak beku agak nya aku, Zaki juga kesejukan, sebab dia pun tak tahan sejuk rupa nya. Sepanjang perjalanan, kami berbual mesra, berbagai cerita yang kami bual kan. Ada cerita yang membuat kan aku tak boleh lupa sampai sekarang. Zaki beritahu aku, " As, nak tau tak, malam balik dari dinner hari tu, cepat-cepat Zaki rendam baju Zaki, sebab masa kita dance tu, tak perasan pulak, bila masa entah lipstick As terkena kat kemeja Zaki. Dah lah kemeja tu putih, nampak jelas tau.....takut mak tau pulak, naiya lah Zaki nanti kena marah." 
" Hah ???? bila masa terlekat pulak tu......aduhhh....malunya kat mak Zaki kalau dia tahu....." aku tergelak gelihati, tapi malu lah jugak , sebab agak nya khayal sangat dan leka dengan alunan irama lagu tu, sampai jadi macam tu.......hehehe....kelakar bila ingat semula hal tersebut.....alahai, maklomlah orang muda tak pernah-pernah menari slow dance, macam tu lah jadi nya.

" Gambar-gambar kita masa dinner tu As simpan kat mana, mak As tengok tak ? " tanya Zaki tentang gambar-gambar yang kami ambil berdua di malam itu.
"Ada dalam album, mak tengok, mak kata Zaki ni hensem, nampak baik jugak." jawab aku bersahaja, sebab mak aku dah mula sporting, lagi pun setakat gambar biasa, bukan gambar dalam keadaaan tidak senonoh.
" Eh, Zaki sorok tau gambar kita, takut mak nampak, lagi pun ayah Zaki kan imam, dia bukan suka kalau Zaki ni bergambar dengan perempuan, orang tua Zaki alim sikit lah....." kata dia lagi.
Baru lah aku tahu yang dia sangat berahsia juga orang nya, demi menjaga nama keluarga dari tercemar, semua kegiatan nya di luar rumah harus di sembunyikan dari pengetahuan emak ayah nya. Seorang yang menjaga nama keluarga, namun masih juga ada perasaan ingin berteman dan bercinta. Biasa lah naluri lelaki yang normal, setiap mereka ingin di cinta dan menyintai.

Dalam pada berbual-bual, entah bila masa nya aku terlelap.......aku tak sedar langsung, tahu-tahu aku tersentak dengan satu suara yang agak parau, suara Awie rupanya. " Ni si As apahal tidur macam ni ? tak boleh tidur betul-betul ke, nak manja jer ngan kau Zaki ? " 
" Tak pa, dia mengantuk sangat, tak perasan lah dah lelap kat sini.....aku tak sampai hati nak gerakkan dia, kesian ...." balas Zaki pula dengan suara yang agak perlahan....takut aku terkejut dari lena.
Aku buka mata dalam keadaan mamai......ehhh.......aku bersandar di bahu Zaki rupa-rupa nya ! Bingkas aku bangun membetulkan kedudukan badan aku, Ya Allah.....malu nya bukan main, yang pergi tersandar kat dia kenapa la pulak....entah macam mana lah aku boleh jadi macam tu.......malu sendiri, sebenar nya kalau orang dah tertidur memang tak sedar dan tak tau apa jadi lah....
" Sorry Zaki, As tak sengaja, kenapa tak kejut kan As tadi ? " tanya aku pada dia.
" It's okay lah, nak malu apa, Zaki tak sampai hati nak kejut As tadi, hehehe........" dia ketawakan aku.
Dalam hati aku berkata,  "agak nya entah macam mana lah dengkur aku tadi.......eeeeee......malu......"

Peristiwa itu masih terbayang jelas di kotak ingatan ku, kenangan bersama nya memang tidak terpadam begitu saja.....Zaki memang telah berjaya menawan hati ku, dan aku memang sudah menyayangi dia di dalam hati, cuma zahir nya tidak pernah aku ucapkan, sebab aku bimbang bertepuk sebelah tangan walaupun aku tahu dia memang suka pada aku. Kesilapan aku yang amat besar dalam hidup.......tidak pernah sekali pun aku menyatakan rasa cinta pada nya. Itu lah yang mungkin membuat kan dia juga meragui kejujuran ku bila Jan mula memainkan peranan nya menghasut Zaki.

Hendak di jadi kan cerita, selepas pulang dari rombongan ke Kota Tinggi, aku demam, terpaksa ambil mc ...doktor memberi aku cuti 2 hari. Zaki pula bertugas shift petang, jam 3 petang hingga 11 malam. Masa dia datang ke line nak jumpa aku sebelum pukul 3, Jan memberitahu dia aku demam. Lama dia berbual-bual dengan Jan. Macam biasa lah, kawan-kawan aku yang lain telah memberitahu aku hal tersebut, kalau tidak mana aku tahu Jan berbual dengan Zaki agak lama . Setelah sembuh, aku datang kerja seperti biasa, dan aku mendapati tiada nota yang di tinggal kan oleh Zaki seperti biasa di lakukan nya, sebelum dia balik kerja jam 11 malam. Dalam hati tertanya-tanya, kenapa pulak tak ada surat dia ? Lupa ke Zaki ? Biasa nya tak macam ni.......bermacam-macam pertanyaan berlegar-legar di fikiran ku. Aku pun rindu juga sebab dah dua hari tidak bertemu dia, dulu-dulu susah, mana ada handphone macam sekarang ni, kan........kalau tidak senang lah aku nak hubungi dia kalau rindu menerpa......

Sampai hampir jam 3 petang, aku keluar untuk minum di kantin, dalam hati berharap dapat berjumpa dengan Zaki, sebab dia akan masuk kerja jam 3 petang. Lama juga aku menunggu di kantin, macam biasa aku lakukan sebab Zaki akan datang ke kantin untuk berjumpa aku. Tapi hampir tamat waktu rehat, dia tidak muncul........aku terpaksa masuk ke line untuk menerus kan kerja sampai jam 5. Rupa-rupa nya dia telah memulakan kerja, bila terpandang aku, dia memalingkan wajahnya. Tidak mahu memandang aku.....aku jadi hairan, " Kenapa dengan Zaki ni, apa yang tak kena, tak pernah-pernah dia macam ni....." bisik hati ku.
Aku datang dekat pada nya, aku tegur dia....." Hai, kenapa Zaki tak datang kantin tadi, lama As tunggu, ingat kan Zaki cuti."
Dia diam, memandang tepat ke wajah ku, dia merenung aku tajam, aku jadi bingung. Tak pernah aku lihat dia begitu, seolah-olah marah sangat terhadap aku. Dia tidak menjawap soalan aku, sebalik nya berlalu ke machine lain, meneruskan kerja nya, tanpa memperdulikan aku yang mengikut dia dari belakang. Aku masih tidak puas hati, aku tanya dia lagi " Zaki ni kenapa, As tanya diam jer, As ada buat salah ke pada Zaki ? "

Dia tetap membisu, aku jadi sangat malu......." Okay lah, take your time, reda kan hati Zaki dulu, kalau nanti ada apa-apa yang tak puas hati, tinggalkan surat dalam locker ya, As tunggu...." kata ku pada dia, walau pun dia tidak memperdulikan aku lagi ketika itu. Aku meneruskan kerja semula, sampai kan rosak semua produk dari salah sebuah machine di sebab kan aku lalai ketika ingin mendapat kepastian dari Zaki, mengapa dia menjauhkan diri dari aku. Aku ambil semua produk yang rosak, buang dalam tong sampah, aku tak peduli kalau sesiapa nampak dan memberitahu hal tersebut kepada bos, aku sudah tidak kisah, yang aku risau kan ialah Zaki. Ketika ini aku merasa " buah hati " ku memang merajuk dengan aku, bagaimana nanti harus ku pujuk dia, sebab dalam hati mungkin sudah ada rasa cinta , namun terpendam dalam diam.

 Keesokan hari nya Zaki tetap tidak bersuara dengan ku. Aku merasa sangat sedih, buntu dan keliru....Jan pula hanya tersenyum memandang aku dengan senyuman jahat nya. Masih jelas terbayang senyuman Jan, kala aku menulis kisah ini.......
Sampai masuk minggu baru, Zaki bekerja shift pagi, waktu makan tengahari, aku tidak lalu makan lagi ketika itu. Dalam hati aku berfikir, mesti mencari jalan penyelesaian nya. Aku terlihat dia sedang merokok di kantin, aku datang dekat, duduk di sebelah nya. " Zaki, kalau ada apa-apa yang tak puas hati cakap lah terus terang dengan As, tak suka lah macam ni, diam saja tak bersuara....As buat salah apa dengan Zaki, cakap lah, please......." aku merayu Zaki supaya berterus terang tentang perasaan nya. Dia tidak langsung memandang aku, tapi mematikan rokok nya, dan pergi berlalu begitu sahaja, tinggal lah aku di situ terpinga-pinga. Mahu tidak mahu, terpaksa juga aku balik ke line, tanpa menjamah sedikit pun makanan sedang kan aku sangat lapar, tapi selera ku tidak lalu untuk makan, bagai tersekat di buat nya.

Sampai di line, datang seorang kawan aku yang berbangsa China, Gan nama nya, kata nya pada ku " Haiya As, you tak moh pigi cakap sama Zaki lagi lah, itu hari ha, Jan sudah kasi cucuk baik punya sama dia , masa you demam.Manyak lama lor dia cakap-cakap dua olang, itu pasal i tengok Zaki tak moh cakap sama you lagi. I ingat  Zaki sudah benci you la As, you peduli sama dia lah, lagi banyak kawan lain ada sini, itu Raja pun banyak suka sama you, lagi baik lor..."
" Hah ???? Jan kasi cucuk sama Zaki ka Gan, banyak jahat lah itu perempuan, kita dua orang kawan baik tau, dia bikin ini macam sama i susah hati lor, patut lah Zaki sudah tak moh cakap sama i lagi..." aku bagai kan hendak menjerit sebab sakit hati perbuatan Jan. Memang dia kota kan apa yang dia hajat kan. Dia khianati aku dengan mencerita kan hal hubungan aku dan Latib. sedangkan ketika itu, aku dan Latib, tiada ikatan yang kukuh, bertunang pun belum, sanggup dia membuat cerita yang aku ni memandang orang yang kerja di bank.....supaya masa depan aku terjamin, kata nya lagi aku tak akan memilih Zaki, sebab dia hanya bekerja di kilang. Aku hanya menjadi kan Zaki sebagai teman masa kesunyian, sampai masa dia akan aku tinggalkan......begitu lah cerita dia yang membuat kan Zaki sangat marah terhadap aku. Siapa yang tidak marah kalau orang yang di sayangi berpura-pura menyintai sedangkan di hati memilih yang lain dari dia. Aku tidak salah kan Zaki dalam hal ini, cuma yang aku kesali sikap nya yang tidak mahu bertanya aku terus terang soal hati dan perasaan ku.
Semenjak dari hari itu, Zaki tidak lagi ingin memandang wajah ku, seandai nya bertemu di mana-mana sekali pun, dia akan memalingkan wajah nya, walau pun kami berselisih bahu dia tidak lagi mahu menegur aku. Macam lah aku ni tak pernah wujud dalam hidup nya. Lama-kelamaan aku pun mula rasa , tak apa lah......kalau orang dah tak suka nak buat macam mana, dia tak mahu lagi meneruskan perhubungan, dan aku pun tak perlu lah terbawa-bawa perasaaan. Aku melangkah pergi, walau hati ku sedih, tak sanggup aku berdepan dengan nya lagi kerana dia sudah tidak sudi......apa boleh aku perbuat kan lagi ?

Saya berhenti setakat ini dulu, didalam hati terasa sayu........kisah lama menyentuh kalbu, terbawa pula dalam sendu........haisshhhh.......terkadang saya terkenang yang telah lama hilang dari tatap pandang.
nanti kan sambungan kisah ini di lain waktu......sabar lah menunggu andai tidak jemu......salam sayang selalu :)


Saturday, July 9, 2011

~ Zaki ~ ( 3 )



Tahun baru bermula, tugas di tempat kerja kian bertambah, permintaan dari German kian meningkat,  memerlukan kami di " line " bekerja keras untuk menambah pengeluaran produk kilang. Aku terpaksa bekerja lebih masa di hari ahad. 
Kualiti perlu menepati permintaan , aku semakin teruk bekerja, selalu kurang tidur sebab masa berehat di hari ahad telah terganggu. Namun begitu aku gembira sebab bila pagi sebelum jam 8, aku sempat minum pagi bersama Zaki, kerana jam 7 dia telah habis shift malam. Satu jam itu ada lah masa untuk aku berbual-bual dan minum bersama nya, di rumah aku tidak sempat bersarapan pagi kerana mengejar waktu, takut tertinggal bas. Jadi hubungan kami semakin mesra, dia lah juga yang menjumpai semula dompet ku yang hilang pada malam dinner sebelumnya...... terjumpa di dalam tandas lelaki. Ada tercampak di lantai, duit semua sudah tiada, hanya kad pengenalan aku saja yang tinggal. Aku bersyukur walau pun duit yang hilang tidak lah sebanyak mana tapi yang penting kad pengenalan aku dapat semula.

Masa itu, aku rasa alahai....sayang lah jugak dalam hati pada lelaki ini.....kenapa semua ini terjadi , semua nya secara kebetulan, membuat kan hubungan aku dan Zaki semakin rapat. " As, tak apalah duit tak ada lagi, asal dapat IC As balik....jadi lah, 
kalau tak leceh lah nak pergi buat report kat balai polis kan ? Kerja kita sekarang pun banyak ni....." kata nya sambil tersenyum , aduh....memang cair hati aku dengan senyuman dia......tapi cepat-cepat aku sedar diri semula, sebab aku ni bukan cantik sangat nak berganding dengannya yang teramat lah hensem bukan main tu......malu sendiri dalam hati. 
Walhal aku tak sedar, pada dia cantik bukan lah ukuran untuk dirinya, yang dia mahu kejujuran hati ku. Entah mengapa aku tidak pandai berfikir begitu masa dulu, pada aku kalau lelaki hensem, lawan nya mesti perempuan yang cantik......ya lah kan....masa tu aku ni mentah lagi , baru 18 tahun saja, mana lah pandai semua perkara.

Hari-hari kami bertemu, walau tak dapat lama sekejap pasti tak lepas peluang, bukan aku yang sengaja nak jumpa dia, dia yang sengaja tunggu nak jumpa aku setiap kali. 
Tapi masa tu aku dan Zaki masih belum declare yang kami berdua sedang bercinta, sebab aku tak ada rasa cinta terhadap nya. Lain pulak dengan sikap nya, habis semua Line Leader dan kawan-kawan nya di beritahu yang aku ni sudah jadi special girlfriend dia, jangan ada sesiapa cuba nak kacau aku, siap lah ...tak sangka sungguh, patut lah ada yang dah tak berani keluar minum dengan aku berdua saja, mesti ajak yang lain sama sebab takut ugutan Zaki. Garang juga dia walau pun nampak lembut dan romantik......hmmmm....di situ lah " macho " nya dia.....tak sangka dalam lembut tetap ada tegas nya.

Dalam pada aku berkawan rapat dengan Zaki, secara tidak sengaja aku telah berkenalan dan telah jatuh hati pada seorang lelaki yang bekerja di sebuah bank di bandar. Dia adalah lelaki yang pertama aku jatuh cinta dalam hidup aku, ini lah cinta pandang pertama aku sebenar nya. Seorang yang berwajah seperti anak China, berkaca mata, tinggi dan tampan orang nya. Cinta aku dengan Latib memang berbalas, kami menjalin cinta selama 4 tahun lama nya.......namun jodoh memang tidak ada buat kami, keluarga nya memilih saudara sepupunya sendiri, dan aku beralah demi kebahagiaan orang yang aku sangat cintai, benar lah kata orang...." cinta tak mesti bersatu "......aku akur..... Ketentuan Allah.

Atas sebab itu juga lah fitnah seorang kawan rapat yang sangat ingin memiliki cinta Zaki berjaya di laksana kan oleh nya. Aku akui, memang aku rapat dan suka dengan Zaki, namun aku tidak mahu  mencurangi hubungan aku dengan Latib. Sebab itu, setiap kali Zaki mengajak aku keluar dating berdua dengan nya, aku tidak pernah mahu, kecuali kalau ada Jan dan Chandra turut serta. Masa menonton wayang juga kami akan berempat. Semata-mata untuk menjaga nama baik aku supaya tidak tercemar andai ketahuan oleh Latib. Sedang kan Jan pula, dalam pada bercouple dengan Chandra, hati nya sebenar ingin memiliki Zaki. Aku amat tahu sebab dia sendiri yang beritahu aku, kata Jan pada ku, " Aku kalau Zaki ni aku tak dapat, aku tak puas hati. Sanggup aku tinggal kan Chandra kalau dia nak aku. Tapi aku heran lah apasal dia gila sangat dengan kau ? Apa lebih nya engkau ni, dia tak tahu kau ada boyfriend, kalau dia tahu, mampus dia tak nak kau lah. Nanti satu hari aku nak bagitau dia hal kau. "

Aku pandang muka Jan, " Ya lah kan Jan.....Zaki tu tak nampak ke kau ni macam Jepun, body slim, muka lawa, pakai hot.......apa lah dia pandang aku ni pulak, dah lah mata sepet, anak China, pakai cincai...kasar, bukan macam kau ni ha......ayu jelita, aku agak mata Zaki rabun lah......hehehe...." balas aku terhadap pertanyaan Jan, dalam hati aku berkata sendirian, " lantak engkau lah kalau kau nak cerita hal aku pada Zaki, dengki betul, aku belum lagi jadi isteri sesiapa, tunang pun tidak, suka hati aku lah kalau aku nak kawan dengan sesiapa."
Memang dasar manusia berhati durjana, sedang kan Jan dan Mas adalah kawan baik aku, kami tinggal sekampung, pernah makan sepinggan, tidur sebantal.....rumah aku , rumah dia juga, semua benda kami berkongsi bersama, tapi oleh kerana perasaan tamak dan iri hati , kawan baik sendiri sanggup di khianati.

Dalam menjalin hubungan cinta dengan Latib, aku tidak pernah mengabaikan Zaki, setiap kali dia ingin membawa aku berjalan-jalan di bandar, aku pergi juga tapi Jan dan Chandra pasti ada, dalam hati aku takut juga terserempak dengan Latib atau kawan-kawan sekerja nya di bank, sebab aku di kenali oleh ramai kawan-kawan Latib juga. Hubungan aku dan Latib memang bukan rahsia , tapi hubungan aku dengan Zaki, ada lah terkawal, tak ramai orang tahu, kecuali kawan-kawan di kilang saja. Masaalah nya ialah, aku dan Latib jarang dapat keluar bersama, hanya 2 atau 3 kali sebulan, tapi dengan Zaki, boleh di kata kan lebih rapat dan mesra, sebab satu tempat bekerja. Mungkin itu yang membuat kan aku merasa Zaki  lah sepatut nya menjadi kekasih sebenar aku kalau nak di kira berbanding Latib yang sentiasa tidak cukup masa untuk berjumpa . Hujung minggu dia sibuk pulak nak balik kampung, manakala Zaki sentiasa ada masa untuk aku.

Jan pula semakin meluat melihat kemesraan aku dan Zaki, tak habis-habis dia ugut nak beritahu Zaki tentang hubungan aku dengan Latib. Aku masih bersabar dengan sikap Jan, " Kalau kau nak jugak bagitau Zaki, aku nak buat apa, terserah dia lah nak terus kawan dengan aku ke tak. Dia kan bukan budak kecik , kau ingat dia termakan ke gula-gula kau tu ha.......? " aku cabar Jan sebab sakit hati sangat sikap dia yang dengki dengan kawan baik sendiri.
 " Engkau tu , aku tak bagitau Chandra yang kau syok kat Zaki dah kira baik tau, aku bukan macam kau lah, nak cucuk sana cucuk sini. Ada aku busuk hati dengan kau tak, semua rahsia kau cerita kat aku , aku tak pernah bagitau Chandra, cuba kalau Chandra tau kau gila kat Zaki, kau pun makan tak habis tau....semua yang rapat dengan aku kau nak kebas, dulu Chandra syok kat aku, kau layan dia sampai dia syok kat kau, sekarang Zaki dengan aku, kau nak rampas jugak, apalah perangai kau ni , tak puas hati jer......" kali ini aku betul-betul lepas kan apa yang selama ini terbuku dalam hati aku. Jan terdiam sebab tak sangka aku akan kata begitu pada dia, selama ni aku hanya mengiyakan segala kata-kata nya, tiba-tiba aku dah jadi bukan seperti yang dia kenal, seorang yang takut pada dia dan menurut segala kata-kata nya. Aku yang dia kenal, seorang yang tak banyak soal sebelum ini sudah melawan dia !!!

Kesabaran manusia ada had nya, seperti air yang di tuang kan kedalam sebuah gelas, jika sudah penuh, ia akan melimpah jua, begitulah hati aku, di tahap mana lah yang dapat aku bersabar lagi andai sikap Jan sudah semakin melampau terhadap diam nya aku selama ini. Tak banyak sikit tergugat juga hati aku, bila keterlaluan di perlaku kan begitu, andai Jan bukan kawan rapat sedari kecil, sudah lama aku menjauh kan diri dari dia, tapi hubungan erat seperti adik-beradik itu lah yang membuat kan aku lama menahan sabar.

Saya berhenti setakat ini dahulu, andai ada masa akan saya sambung kan lagi cerita lama yang dah basi ini, tapi ianya masih segar di ingatan saya, bukan mudah melupakan sesuatu yang pernah hadir dalam hidup kita kan.......akhir kata, salam sayang di angin lalu buat semua yang saya kasihi......sampai jumpa lagi, sabar lah menanti andai meminati.......:))












Friday, July 8, 2011

~ Zaki ~ ( 2 )



Semenjak di tempat kan dalam satu " line " dengan Zaki  di kilang, hubungan kami semakin rapat. Dia seorang Line Leader yang bekerja tiga shift, mana kala aku pula Quality Controller yang bekerja mengikut waktu pejabat. Namun sering kami akan keluar minum pagi bersama bila dia bekerja jam 7 pagi hingga 3 petang. Dan akan bersama minum petang bila dia bekerja jam 3 petang hingga 11 malam. Cuma waktu yang kami tidak dapat makan minum bersama ialah apabila dia bekerja jam 11 malam hingga 7 pagi. Namun begitu dia akan selalu  meninggal kan nota di locker apabila kami tidak dapat bertemu.  Mengapa dia begitu mengambil berat tentang aku, aku menjadi hairan. Sedangkan dia sudah ada " girlfriend " yang cantik ketika itu. 

Pada aku pula, hubungan rapat dengan nya aku anggap biasa sebagai rakan sekerja. Aku melayan dia dengan baik, sebab dia juga melayan aku baik sekali. Kadang-kadang ada masa nya kerja yang menimbun membuatkan aku pernah juga tidak sempat untuk keluar minum, namun dia akan membelikan aku sebungkus Coca-Cola dan sekeping donut kegemaranku. Kadang-kadang bila aku mengadu mengantuk , dia akan membelikan sebungkus Kopi O, tanpa aku pinta. 

Lama-kelamaan hubungan kami bukan dianggap biasa oleh girlfriend nya. Perempuan itu menjadi begitu cemburu tentang hubungan ikhlas kami. Akhirnya Zaki memutuskan berpisah dengan buah hatinya. Dia menumpukan sepenuh perhatian pula kepada aku. 
Kata nya , " As, Zaki tak tahan lah dengan tuduhan Anne. Cemburu keterlaluan, ini belum jadi wife lagi, kalau esok-esok dah jadi wife Zaki, agak nya dia tambat kaki Zaki ni. Tak suka lah, dia tuduh As macam-macam, kutuk As pulak, sedangkan Zaki lebih kenal As dari dia. Zaki tahu siapa yang hati busuk ke tak ...." 

Terkejut aku dengan kata-kata Zaki, tambah nya lagi, " Zaki dah putus dengan dia." Lagi lah aku terperanjat, " 
Apa ? Zaki putus ? habis nanti lagi dia tuduh As macam-macam.....As tak mau lah dengar benda-benda ni....sambunglah balik dengan dia Zaki, please...." rayu aku pada nya. 

" Dah, As jangan takut, bukan salah As, dia yang cari problem, fed up lah dengan perempuan jealous melampau macam dia. As buat macam tak tau dah lah, Zaki suka As, dia nak buat apa ? Nak paksa Zaki suka dia balik ? Sorry lah......dah terlambat, perempuan bukan sorang, cantik tak ada akal nak buat apa, baik tak payah lah. " tegas nya berkeras tidak mahu meneruskan hubungan nya lagi dengan Anne.

Tetapi dalam hati aku risau, kalau lah Anne yang ramai kawan tu, mengajak kawan-kawan nya yang lain ,yang  juga separuh nya kawan-kawan aku, memulaukan aku. Tentu aku tak ada siapa nak kawan lagi, dah lah aku ni tak ramai kawan perempuan, hanya yang ramai kawan-kawan lelaki....lagi lah mulut mereka sedap mengata aku....hmmm....

Nak di jadi kan cerita, hujung tahun kilang tempat kami bekerja mengadakan Annual Dinner, malam itu aku , Jan dan Mas pergi lah, sebab orang kampung la kata kan, mana lah biasa dengan dinner dan party ni. Pakaian untuk dinner tu pun aku beli di saat-saat akhir, sehelai gaun merah dan kasut berwarna hitam. Mas pula, skirt unggu, manakala Jan tak payah cakap lah, anak orang kaya, baju dia paling hebat, dengan kasut juga branded la kata kan, gempak ! Kami bersolek sakan, mengalah kan artis pulak, sungguh nampak bergaya walau pun aku cuma membeli pakaian dari kedai biasa saja. Wah....perasan lah pulak aku ni...gelihati bila ingat semula.

Jan berpasangan dengan Chandra, seorang anak Chindian, manakala Mas membawa boyfriend nya Zack. Aku pula terpinga-pinga tak ada couple. Kebetulan Zaki juga datang sendiri dengan Scrambler nya. Dia tahu aku tak ada partner untuk menari malam itu. Aku hanya memandang pasangan-pasangan yang lain menari lagu rancak dan slow dance. Tiba-tiba Zaki datang menarik tangan aku, " Jom As, kita dancing...." 
belum sempat aku kata tak nak, dia menarik aku agak kuat, tersentak di buat nya, aku berdiri kaku.......malu nya, aku tak pernah menari slow dance dengan lelaki, kalau lagu joget masa Chak Kunchak ( joget lambak ) di kampung pernah lah.......hehehe....kelakar kan ?

Mahu tak mahu, bila dia dah memeluk pinggang aku, aku terpaksa lah bersikap agak sporting malam itu, untuk tidak memalu kan dia di depan bekas girlfriend nya yang membawa pasangan lain. Kami pun "berdancing" lah sampai habis lagu.......di saat itu aku terasa pelukan nya lain macam, berdebar hati aku, jantung ku berdegup dengan kuat sekali......apakah aku sudah mula menyayangi Zaki, atau itu hanya mainan perasaan ?

Bila lagu habis, lampu yang samar menjadi terang, party malam itu juga sudah sampai ke penghujung, kami membuat keputusan untuk pulang kerumah, jam sudah hampir 1 pagi. Bas di luar kilang sudah siap sedia menunggu, aku dapati purse aku telah hilang. Puas Zaki menolong mencari nya, namun tidak berjumpa, hampa. Akhirnya aku ketinggalan bas, yang lain-lain telah pulang dulu tanpa menunggu aku pula......Zaki mempelawa aku membonceng motosikal Scrambler nya. Mahu tidak mahu aku terpaksa menumpang dia untuk pulang malam itu, tanpa helmet dan kad pengenalan. Kami melalui jalan yang sangat gelap, sebab jalan itu tiada polis yang membuat rondaan, jalan pintas.....sampai di pertengahan jalan, tiba-tiba Zaki memberhentikan motorsikal nya, aku menjadi sangat takut, dalam hati mencurigai lelaki ini.....
" dia ni nak apa-apakan aku ke, Ya Allah, tolonglah aku....." doa ku dalam hati.

" As, pakai jaket Zaki ni, sejuk kan...? " kata nya pada ku. Lega hati aku, memang aku sejuk sebab angin malam sangat dingin bila naik motorsikal, aku pun pakai lah jaket dia. 
" Tolong buka kan butang lengan Zaki ni...." pinta dia, walhal sebenar nya dia boleh buka sendiri.......saja nak mengada-ngada pulak...nasib baik tak suruh bukak baju dia........mahu aku lari tak cukup tanah, takut !

Akhirnya dia menghantar aku sampai di depan rumah dengan selamat, Allah melindungi kami dari perbuatan yang tidak baik, Alhamdulillah.......Zaki tidak lah seorang lelaki yang jahat dan mengambil kesempatan keatas perempuan, niat dia ikhlas sebenarnya, bermula dari malam itu, hati aku sudah ada sedikit rasa sayang pada lelaki ini. Baik hati, berbudi bahasa, pandai juga serba sedikit tentang ilmu ugama, sebab bapa nya seorang Imam.....walau pun iman tidak boleh di warisi, namun atas didikan yang baik dari keluarga maka tak banyak sikit masih terpelihara jiwa nya dari hasutan syaitan.

Saya akan sambungkan sedikit lagi cerita saya dengan lelaki yang bernama Zaki ini di lain waktu.......sampai jumpa lagi, salam sayang selalu buat semua yang saya kasihi.





Wednesday, July 6, 2011

~ Zaki ~



Tiga puluh dua tahun telah berlalu, namun satu nama itu belum terhapus dari ingatan. Kekal hingga ke hari ini. Perhubungan aku dan dia terjalin semasa kami sama-sama bekerja sementara menanti keputusan SPM. Dia seorang yang terlalu kacak pada pandangan mataku, dan pada pandangan ramai orang juga. Memang seorang yang sangat "handsome", berkulit putih kemerah-merahan, ketinggian 5kaki 8 inci, cuma sedikit kurus berbanding sekarang. Maklomlah masa remaja biasa nya badan belum naik seperti orang yang sudah berkahwin. Seorang yang lemah lembut, pemalu, berbudi bahasa dan sangat berhati-hati bila berkata-kata.

Bukan seorang dua yang menaruh hati pada nya, ramai gadis-gadis yang tergila-gilakan dia mentelahan pula dia seorang yang pandai bergaya, penampilan nya sentiasa kemas dan menarik serta sentiasa kelihatan bersih.
Aku tidak pernah jatuh cinta kepada "lelaki" ini, sekadar meminati dan menyukai wajah dan keterampilan nya sahaja. Bukan kerana aku jual mahal, tidak...cuma aku sedar diri, siapa lah aku berbanding ramai lagi gadis-gadis lain yang cantik dan bergaya yang cuba menawan hati nya. Dia pula melayan semua gadis-gadis yang meminati nya dengan baik, maka kerana itu aku rasa lebih baik aku sekadar memerhati sahaja dari jauh. Memang lah kata orang hati tidak boleh di paksa. Tidak terlintas di hati aku bahawa sebenar nya dalam ramai-ramai yang ada, aku pula yang menarik perhatiannya.

Rupa-rupa nya dalam diam, dia telah lama menaruh hati pada aku , seorang yang berpewatakan agak kasar, jarang memakai baju kurung, pakaian biasa aku hanya t-shirt dan jeans. Berbanding dengan dia, yang kelihatan sentiasa segak dan kemas. Aku pula bila waktu bekerja, perbualan dengan teman-teman yang kebanyakannya lelaki sama dengan mereka, kasar dan bercakap lepas. Sedang kan dia berpewatakan romantis, boleh cair kalau dengar suara dia. Sebut saja Zaki dan Aslinah, pasti ada yang mengatakan huh ! macam pinang di belah dengan kapak.......hancur......hehehe...aku kasar, dia lembut, aku garang dia baik, aku cepat marah, dia tenang.......memang jauh beza nya bagai langit dengan bumi.

Tapi hati nya aku tersilap menafsir. Aku takut bila dia sering mengajak keluar "dating", ajak tengok wayang, ajak pergi makan-makan bila kami dapat gaji. Semua nya aku tolak mentah-mentah, bukan sebab aku berlagak, cuma yang macam aku kata kan di awal tadi, aku memang rasa tidak layak berpasangan dengan nya.....dia terlalu segak. Ada seorang kawan paling rapat dengan ku, ...puas dia mengurat Zaki tapi hampa. Bukan dia tak cantik dan bergaya, malah pada pandangan aku cukup sempurna sebagai gadis remaja yang jelita dan kaya. Dia  membeli pakaian baru setiap kali bila-bila teragak di hati nya. Tak perlu menunggu hari gaji. Mak dia kaya, apa dia nak semua boleh dapat, cuma yang dia tak dapat sampai sekarang ialah lelaki yang bernama Zaki ini. .....kenapa agak nya yang menyebabkan dia tak dapat menawan hati si Zaki ? Itu kena tunggu di lain waktu ya, sebab saya hanya memberikan sedikit mukadimah nya sahaja....:))


Jangan marah kalau note kali ini terlalu ringkas dan pendek, lain kali saya panjang kan sikit....Salam sayang kepada semua yang saya kasihi.


Tuesday, July 5, 2011

~ Keliru ~

~ Keliru ~




 Dalam kehidupan ini berbagai ragam manusia telah aku temui. Ada yang baik tak kurang juga yang tidak baik. Terkadang aku penat dan keliru dengan sikap berbagai-bagai dari mereka. Memang aku senang berkawan dengan siapa saja, pernah aku kata kan dulu , aku tak mengira umur samada tua atau muda, mahu pun sebaya. Yang penting bagi aku ialah keihklasan untuk berkawan. Boleh kata kan aku sayang semua rakan-rakan, walau pun ada insan-insan tertentu yang mendapat keistimewaan lebih dari ku. Itu ada lah perkara biasa, HATI manusia bukan nya boleh di paksa. Begitu juga dengan hati aku. Kerana aku insan biasa yang tiada apa-apa kelebihan dan aku tidak maksum maka nya aku bersikap sama dengan manusia yang lain. Bohong lah kalau aku katakan yang aku melayan semua orang sama saja, tiada seorang pun yang terlebih dan tiada seorang pun yang terkurang mendapat perhatian dariku.

Tapi cuma satu yang membuat kan hati aku melekat dengan beberapa orang kawan perempuan dan beberapa orang kawan lelaki ini ialah, sikap mereka yang mengambil berat tentang diri ku. Tentang sakit pening aku. Panggilan telefon, SMS adalah penyambung ikatan persahabatan kami. Ada yang tidak pernah dalam sehari pun tidak menghubungi aku bertanya khabar. Andai lambat aku membalas mesej nya dia akan gelisah, risau akan keadaan aku. Ada yang sanggup jam satu pagi menelefon aku bertanya khabar, sihat kah atau tidak. Yang menelefon berjam-jam pun ada, hanya semata-mata berbual kosong dan rindu nak mendengar suara. Beberapa orang yang jauh di mata, dan beberapa orang yang  tinggal dalam bandar yang sama ada lah rakan yang sangat karib buat masa ini. Aku bersyukur Allah anugerah kan  insan -insan yang benar-benar ihklas berkawan dengan ku. Bukan wang ringgit nya yang aku pandang tapi ketulusan hati nya membuat kan aku senang.

Ini bukan bermakna yang lain tidak ikhlas dan telus berkawan cuma mungkin mereka-mereka itu sibuk dengan urusan harian yang lebih penting. Maklom lah dunia sekarang adalah satu perlumbaan. Andai terlambat akan keciciran. Maka ada yang hanya sempat bertanya khabar sepintas lalu, kalau aku tak menelefon mereka maka tiada lah diantara mereka yang sudi menelefon aku. Aku akui hakikat nya memang sebelum ini aku  suka menelefon kawan-kawan baik yang jauh atau dekat, namun bila memikirkan semula, ada lah lebih baik aku berdiam saja, kerana mungkin ada yang tidak suka di ganggu dengan deringan telefon dan nada dering SMS. Hanya kini aku menumpukan perhatian pada yang beberapa orang ini, sebab nya ialah...." orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa."
Kalau sebelum ini aku keliru memilih kawan sekarang aku tahu siapa yang patut aku teman kan.

Budi mereka-mereka ini akan kekal dan teguh dalam hati aku, selagi hayat di kandung badan, kasih dan sayang aku pertaruhkan buat kalian. Walaupun kita bukan di lahirkan dari rahim yang sama, namun ikatan persaudaraan ini amat kuat, bukan kita yang punya pinta tapi ALLAH yang empunya rencana.
Dipertemu kan antara dua HATI, ikatan ini akan kusimpul mati, tak terurai lagi.....INSYAALLAH.


aslinahali
060711
2.30a.m

Monday, July 4, 2011

~ Ice Lemon Tea ~......" lagu ni tak ada kaitan langsung kan, tapi aku rasa memang aku tak harus melawan arus........sakit buat cara SAKIT !

~ Ice Lemon Tea ~




Terjaga dari lena tiba-tiba, aku tidak dapat untuk tidur semula. Kesejukan ini bukan main, aku menggigil dingin, rasa ini sampai ke tulang hitam ku.....kebas jari jemari, untuk menyentuh air di pili juga aku tak tahan sama sekali. Selimut tebal seolah tak mencukupi untuk membalut tubuh ku. Tapi keinginan ku saat demam ini juga bukan main lagi.....teringin segelas ~ Ice Lemon Tea ~.....bayang kan yang dingin........aku mahu minum Ice Lemon Tea saat ini !

Kata orang kalau tekak tak sedap, minuman masam-masam manis memang sesuai. Sangat teringin, mana aku nak cari malam-malam begini Ice Lemon Tea yang sangat sedap. Bubur yang di beli hanya tersimpan dalam peti sejuk. Tak berselera untuk aku jamah lagi, dan sekarang ini aku hanya teringin segelas ~ Ice Lemon Tea ~ 

Semenjak lima hari ini selera ku menyusut, fikiran berserabut, aku cuba melawan sakit namun hakikat nya aku tak mampu melawan ketentuan Tuhan. Ya Allah, sakit yang engkau beri kan ini biar lah menjadi penawar segala dosa-dosa ku....Amin Ya Rabbal A'lamin.


aslinahali
3.00 am
050711

Friday, July 1, 2011

~ Dugaan ~

~ Dugaan ~




Bersendirian dalam menempuhi ujian dan dugaan dari Allah memang merupakan satu hal yang bukan senang. Dalam kekentalan jiwa , terkadang hadir jua rasa lemah dan seperti mahu mengalah. Dugaan demi dugaan datang , berkali-kali hingga hampir  ranah sekeping hati. Namun , hidup bukan untuk sehari, belum tentu esok akan mati. Perjalanan  harus di terus kan, tak mungkin terhenti di sini. Biar kaki tersandung batu-batu di jalan, darah luka nya adalah dakwat yang menulis kan sebuah kisah di kanvas kehidupan.

Di rempuh hingga jatuh, masih mampu bangun untuk terus ke hadapan. Bukan sekali tersungkur, malah rebah dan parah, namun tiada mengenal payah dan kalah. Selagi dapat berpaut, onak dan duri di kanan kiri tak di peduli, walau pun luka calar nya amat pedih....demi untuk menerus kan perjalanan yang harus tiba ke destinasi. Bukan mudah bertemu impian, harapan harus kesampaian, tidak hanya separuh jalan !


aslinahali
020711

Dzikir Penenang Hati

Ya Latif Ya Latif Ya Latif dzikir lah banyak-banyak semampu mu , sekuat mu , semahu mu . jika kau sedang gundah gulana dzikir ...